Selepas kejayaan edisi pertama tahun lalu, Cabaran Kiulu 2016, kini kembali dianjurkan dengan jangkaan lebih ramai akan menyertai perlumbaan yang bakal berlangsung pada 4 Disember depan.

Setakat ini, lebih 300 orang peserta dari dalam dan luar negara telah mengesahkan penyertaan bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat menjelang perlumbaan itu nanti.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, kejohanan yang dianjurkan Persatuan Pelancongan Kiulu dengan kerjasama STB serta Kementerian Pelancongan Malaysia itu, bakal menawarkan hadiah berjumlah RM18,000.

"Kategori Cabaran Kiulu kali ini masih sama seperti tahun lalu, namun kami telah menambah dua kategori baru, iaitu bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan bawah 18 tahun untuk acara larian serta berbasikal.

"Lain-lain kategori ialah terbuka lelaki dan wanita serta terbuka lelaki dan wanita veteran bagi larian, berbasikal dan acara berpasukan," katanya pada sidang media di pejabat Lembaga Pelancongan Sabah, hari ini.

Tambahnya lagi, Kejohanan Cabaran Kiulu 2016 itu juga dijangka mampu menarik kehadiran orang ramai, sekali gus mempromosikan daerah berkenaan sebagai pusat pelancongan luar bandar.

"Antara tujuan utama Cabaran Kiulu ini ialah untuk memperkenalkan daerah Kiulu sebagai eko pelancongan, dengan para peserta bakal melalui kawasan-kawasan menarik, termasuk kawasan alam sekitar yang belum terganggu.

"Selain itu, sudah pasti perlumbaan kali ini sangat mencabar dengan beberapa laluan sukar serta berbukit," katanya.