Xander Schauffele memimpin Kejohanan Cabaran Charles Schwab sementara pemain handalan yang lain bergelut untuk layak ke pusingan akhir.

Schauffele mencatat 4 di bawah par 66 dalam pusingan ketiga di Colonial Country Club di Fort Worth, Texas, itu di sebalik saingan Jelajah PGA mula dipertandingkan dalam krisis COVID-19.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu menghasilkan enam birdie dan dua bogey untuk mencatat 13 di bawah par untuk berkelebihan satu pukulan.




Schauffele perlu melepasi ranjau beberapa pemain ternama yang lain dalam pusingan akhir esok seandainya berhasrat meraih kemenangan kelimanya dalam Jelajah PGA.

Justin Thomas (66) dan Jordan Spieth (68) antara kelompok lima pemain yang terikat di kedudukan kedua dengan catatan 12 di bawah par.

Kedua-dua pemain itu meneruskan persembahan mereka yang konsisten, yang menyaksikan Spieth memburu gelaran pertamanya sejak 2016 setelah muncul sebagai naib juara pada 2015 dan 2017.

Spieth, yang tersingkir dalam kalangan ranking 50 pemain terbaik di dunia, melakukan empat birdie dan bogey di sembilan lubang pertama sebelum pukulannya kurang menjadi di lubang ke-15.

Gary Woodland (66), Branden Grace (66) dan Collin Morikawa (67) turut di samping Spieth dan Thomas untuk kedudukan di tempat kedua.



Daniel Berger (67) dan Harold Varner III (70) pula ketinggalan satu pukulan sementara enam pemain terikat di tangga kesembilan.

Dalam masa sama, Rory McIlroy (69) dan Justin Rose (68) antara pemain yang mencatat 10 di bawah par di samping Patrick Reed (63), Abraham Ancer (66), Corey Conners (67) dan Bryson DeChambeau (70).

McIlroy membuat bogey berturut-turut di lubang ketujuh dan kelapan manakala Rose melakukan dua bogey dalam tiga lubang terakhirnya.