Daniel Berger menamatkan penantian selama tiga tahun untuk merangkul gelaran Jelajah PGA dengan memenangi play-off Kejohanan Cabaran Charles Schwab, sebentar tadi.

Pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu mengetepikan Collin Morikawa di lubang play-off pertama di Colonial Country Club di Fort Worth, Texas, dalam kejohanan pertama yang dianjurkan selepas kempen tahun ini terjejas ekoran wabak COVID-19.

Berger mencatat empat di bawah 66 dalam pusingan akhir itu sementara Morikawa dengan catatan lima di bawah 67 untuk keseluruhan 15 di bawah par.

Namun, tatkala Berger merekodkan par di lubang play-off pertama -- lubang yang ke-17 -- Morikawa gagal melakukan putt pendek dan secara tidak langsung melanjutkan saingan penentuan juara itu.



Bagi Berger, ini adalah kemenangan Jelajah PGA ketiganya dan yang pertama sejak 2017 selepas dia mempertahankan gelaran St Jude Classic.

"Emosi saya bercampur baur," kata pemain berusia 27 tahun itu kepada CBS.

"Saya berusaha keras dalam dua bulan terakhir untuk berada di kedudukan ini dan saya sangat bersyukur kerana semua kerja keras ini terbalas."




Pemimpin semalaman, Xander Schauffele, pula melakar satu di bawah 69 untuk terikat di kedudukan ketiga di samping Jason Kokrak (64), Bryson DeChambeau (66) dan Justin Rose (66) -- satu pukulan di belakang Berger dan Morikawa.

Ia disusuli kedudukan Bubba Watson (65) dan Patrick Reed (67) manakala Gary Woodland (70) menghuni tangga kesembilan.

Jordan Spieth dan Justin Thomas antara yang memberi cabaran hebat semalam, tetapi kedua-dua wakil AS itu sekadar mencatat satu di atas 71 dalam pusingan akhir.

Sehubungan itu, Spieth dan Thomas terikat di kedudukan ke-10 bersama-sama Im Sung-jae (67) dan J.T. Poston (68).

Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy, juga bergelut dalam pusingan akhir apabila merekodkan empat di atas 74 untuk untuk menduduki tangga ke-32.