Peningkatan kes positif doping membabitkan atlet remaja dan penularan penggunaan sibutramine menjadi cabaran utama Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk mengharungi musim 2016 yang menyaksikan 14 atlet digantung ekoran penyalahgunaan bahan terlarang.

2016 meninggalkan noktah hitam dalam arena positif doping di mana seramai 14 atlet negara dikenakan penggantungan ekoran pelbagai kesalahan pengambilan bahan terlarang -- jumlah ketiga tertinggi dalam sejarah sukan negara.

Apa yang membimbangkan, lebih ramai atlet berusia di bawah usia 21 tahun positif doping dan rata-rata daripadanya dikesan mengambil sibutramine, bahan yang biasa terdapat dalam pil menguruskan badan.

"Apabila atlet wushu wanita negara, Tai Cheau Xuen, didapati positif bahan terlarang yang sama (sibutramine) di Sukan Asia 2014, itu satu kesedaran yang bagus untuk semua orang.

"Tapi masih ada kes sibutramine yang berlaku pada tahun ini, iaitu sebanyak empat kes.

"Selepas ini, mungkin kita perlu fokus dengan mengadakan program pendidikan mengenai larangan mengambil pil menguruskan badan," kata Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar.

Statistik menunjukkan jumlah kes positif doping tidak konsisten sejak 2010.

Ini kerana ADAMAS meningkatkan jumlah sampel yang diambil ketika atlet berlatih atau selepas bertanding, dan ini menjadi punca utama peningkatan jumlah atlet muda dikesan positif.

Sibutramine pula ancaman yang sukar dikawal ADAMAS berikutan banyak dikesan dalam pil menguruskan berat badan dan ia lebih menyasarkan atlet wanita.

Maka tidak hairanlah, ia mula mengejar populariti steroid yang sebelum ini lebih sinonim dengan kes doping.

Cabaran 2017 pasti lebih sukar buat ADAMAS, apatah lagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mahukan Sukan SEA Kuala Lumpur bebas daripada kes doping.

Malaysia mahu mengulangi kejayaan Singapura yang menganjurkan temasya tahun lalu tanpa sebarang kes doping.

"Semasa kejohanan Sukan SEA berlangsung, ADAMAS yang akan menubuhkan sebuah pasukan, perlu mewujudkan program dari sekarang.

"Iaitu dengan mengadakan ujian doping di peringkat pra-kejohanan atau ujian agar dapat membuka mata semua yang terlibat tentang perkara ini supaya mereka tidak terbabit dengan sebarang keputusan positif," ujar Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Sukan Komanwel, Tan Sri Dr M Jegathesan.

Realitinya sejak ADAMAS ditubuhkan pada 2007, Malaysia tidak pernah sunyi daripada kes doping setiap tahun.

Cabaran pasti hebat untuk ADAMAS, persatuan sukan kebangsaan, atlet dan pegawai agar bersatu padu dalam memastikan keajaiban berlaku untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bebas daripada kes doping.