Dua daripada tiga kejohanan di Sri Lanka yang akan berlangsung di atas gelanggang tanah liat bulan depan dijangka memberikan cabaran berbeza kepada pemain tenis kerusi roda negara, Mohd Firdaus Ibrahim.

Tonggak paling muda negara berusia 21 tahun itu berharap mampu menyesuaikan diri di atas permukaan tanah liat dengan cepat bagi menghadapi Terbuka Negombo dan Terbuka SSC.

Walaupun sepanjang tahun berlatih di tanah air dengan hanya menggunakan permukaan keras, Firdaus tidak mahu situasi itu dijadikan sebagai alasan.

Sasarannya kini mahu memperbaiki pencapaian musim lalu apabila terkandas dalam suku akhir dalam kedua-dua kejohanan.

"Itu antara pencapaian yang agak baik kerana sebelum itu saya hanya melepasi pusingan pertama atau kedua, jadi saya perlu berusaha lebih keras untuk ke suku akhir.

"Pergerakan kerusi roda semestinya harus dipertingkatkan kerana permukaan gelanggang yang berbeza," katanya.

Dia yang baru sahaja berkecimpung dalam sukan itu empat tahun lalu menjelaskan segala-galanya berubah selepas ditimpa kemalangan jalan raya sebelum disahkan lumpuh sepenuhnya, namun tidak mahu menganggap dunia sudah berakhir buat dirinya.

"Saya ditimpa kemalangan jalan raya lima tahun lepas selepas tayar motosikal yang ditunggang pecah sehingga menyebabkan saya terjatuh dan tulang belakang terhentak pada pembahagi jalan. Bermula daripada situ, saya mula lumpuh.

"Sokongan kawan-kawan serta keluarga membuatkan saya tetap gembira dan tidak menganggap sesuatu perkara itu sebagai satu masalah," ujarnya.