Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, menyahut cabaran jurulatihnya untuk beraksi dalam acara 110m berpagar bagi mengejar reputasi juara Sukan SEA, Rayzamshah Wan Sofian.

Jonathan menyifatkan acara 110m berpagar menarik untuk dicuba, dengan pengalaman beraksi dalam acara ini ketika zaman persekolahan dan keyakinan yang semakin memuncak selepas menjalani beberapa ujian di Institut Sukan Negara (ISN).

Justeru, pelari kelahiran Sarawak ini bertekad untuk terus menjalani latihan 110m berpagar bersama jurulatih, Ithnin Mahadi, dalam masa terdekat.

“Apa yang jurulatih beritahu itu, saya menyahut cabarannya. Bagi saya, tiada masalah. Boleh berlatih tekniknya. Saya akan cuba pada tahun depan,” kata Jonathan.

Bagaimanapun, dia akan tetap meneruskan cabaran dalam acara pecut.

Catatan peribadi terbaik Jonathan ialah 10.28 saat ketika menyertai Terbuka Korea, Jun lalu, sekali gus menjadi pelari pecut kedua terbaik negara selepas Khairul Hafiz Jantan.

"Ia merupakan satu acara yang baru untuk saya. Saya mahu mencubanya pada tahun ini," katanya lagi.