Bekas atlet terjun negara, Bryan Nickson Lomas, menganggap dua isu yang melanda skuad terjun ketika ini sebagai satu peristiwa yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak, tidak kira atlet atau jurulatih.

Bryan mengakui begitu terkejut dengan kes doping dan rogol yang melibatkan skuad terjun negara ketika ini, apatah lagi mereka sebelum ini tidak pernah dipalit dengan isu sedemikian.

Sewaktu bergelar atlet, tiada kejadian seumpama itu berlaku dan kini apa yang mengejutkan, ia melibatkan atlet dan jurulatih daripada arena terjun yang semestinya menjadi kenalan Bryan sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas atlet yang pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik 2012 itu berharap kes berkenaan dapat diselesaikan, sekaligus memulihkan kembali nama baik sukan itu di masa akan datang.

“Saya terkejut dengan isu tersebut kerana sebelum ini acara terjun tidak pernah mengalami masalah sebegini. Diharapkan pihak bertanggungjawab akan dapat menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Berhubung kes doping, Bryan percaya atlet berkenaan pasti terlepas pandang akan peringatan yang diberi mengenai perkara itu sambil berharap agar atlet lain akan lebih serius untuk berhati-hati dalam setiap langkah yang diambil.

“Dalam setiap langkah yang diambil, atlet-atlet perlu mengambil nasihat daripada pihak yang terbabit seperti Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Mereka boleh memberikan arahan yang tepat buat atlet."

Sementara itu, isu doping dan rogol yang berlaku tidak menjejaskan perhatian beberapa atlet pelapis terjun seperti pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Jellson Jabilin dan Gabriel Gilbert Daim, serta seorang lagi penerjun negara, Kimberly Bong, untuk terus menjalani latihan sambil menyifatkan setiap perkara yang berlaku perlu dijadikan iktibar oleh atlet-atlet muda.

"Kami terus fokus kepada latihan dan tidak memikirkan sebarang isu luar," kata Jellson.

"Perkara ini berlaku dalam sekelip mata dan saya sendiri tidak tahu untuk mengulas lebih lanjut," tambah Gabriel.

"Latihan tetap diteruskan dan apa yang boleh dilakukan adalah lebih berhati-hati di masa akan datang," ujar Kimberly.