Bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, hairan dengan tindakan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Program Podium yang memilih jurulatih dari Australia bagi menggantikan ketua jurulatih, Yang Zhuliang, sedangkan China merupakan gergasi sukan itu.

Malaysia menghabiskan banyak masa dan wang untuk mengadakan kem latihan pusat di China sejak sedekad lalu.

Ia sesuai dengan reputasi China sebagai gergasi acara itu, terutama dengan mendominasi Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Justeru, ASUM dan Institut Sukan Negara (ISN) patut mengutamakan calon dan menerapkan program latihan negara di Negara Tembok Besar itu jika mahu menggantikan Zhuliang.

"Mengikut pengalaman peribadi saya, China menerapkan latihan panjang yang melibatkan sesi lapan hingga 10 jam.

"Zaman saya dulu, kami akan berlatih selama empat jam di sebelah pagi dan empat jam pula di sebelah petang. Bukan sahaja berlatih sekadar di dalam air, malah di dalam gim.

"Dia (Zhuliang) percaya, latihan akan menghasilkan keputusan," ujar bekas penerjun dari Sarawak itu.

Zhuliang ditawarkan jawatan baru dalam program pembangunan selepas dikatakan enggan mengetengahkan sains sukan dalam latihannya.

"Semua kaedah latihan tetap bersangkut paut dengan sains sukan," kata Nickson.

Zhuliang, 52, bukan sahaja jurulatih kepada skuad terjun negara, malah dianggap sebagai bapa kepada atlet di bawah jagaannya dengan sifat penyayang, baik hati dan juga tegas.

Dalam tempoh berbelas tahun menaikkan tahap sukan terjun negara, Zhuliang telah melahirkan penerjun Malaysia yang merangkul 62 pingat emas Sukan SEA, dua emas Sukan Komanwel dan pingat perak Sukan Olimpik manakala Cheong Jun Hoong ditabalkan sebagai juara dunia.