Christian Brooker akhirnya diperkenalkan secara rasmi sebagai penolong jurulatih skuad terjun negara untuk membantu pemangku ketua jurulatih, Zhang Yukun, mempersiapkan penerjun bagi menghadapi temasya pertama tahun ini, Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Brooker diperkenalkan selepas dua minggu tiba di Malaysia dan pengendali kelahiran Australia yang memiliki ijazah sarjana kejurulatihan sukan itu diharap dapat menyuntik aspek sains sukan dalam sesi latihan skuad kebangsaan.

"Buat kali pertama saya tiba di sini saya dapati atlet-atlet sangat fokus untuk mendapatkan kejayaan, ia menjadi lebih mudah.

"Apa yang cuba saya lakukan adalah meningkatkan kepercayaan serta keyakinan mereka," ujarnya.

Pada awalnya, Brooker dikatakan akan menggantikan Yang Zhuliang yang tidak disambung kontrak, namun Program Podium berpendapat bahawa bekas penerjun kebangsaan Australia itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, sekaligus menyaksikan Yukun dilantik sebagai pengendali sementara.

"Dia sudah terbukti berjaya tetapi dalam masa sama, kami mahu membuatkan jumlah jurulatih yang bagus di dalam skuad negara.

"Kami memerlukan masa untuk membentuk kestabilan dan kami akan meneliti langkah seterusnya di masa akan datang," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Yukun akan membawa Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri berlatih di China bermula esok sementara Brooker akan mengendalikan sesi latihan penerjun yang masih ada di Malaysia.