Kejohanan larian popular di Sabah iaitu Borneo Marathon yang sepatutnya berlangsung pada 21 Jun depan dibatalkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Borneo Marathon, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan para peserta berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

"Kami tahu berita ini mengecewakan bagi para pelari yang telah berlatih berbulan-bulan untuk menghadapi larian, begitu juga badan kebajikan yang kami kumpulkan dana untuk mereka serta seluruh komuniti yang selalu bersama kami untuk menjadikan kejohanan ini begitu istimewa pada setiap tahun," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu juga, pihak Borneo Marathon turut membuat keputusan untuk mengembalikan kesemua yuran penyertaan yang telah diterima mereka, termasuk yuran yang dibayarkan menggunakan platform Great Borneo Series, World's Marathon serta pakej kombo.

"Seketariat kami pasti akan lebih sibuk untuk mengembalikan kesemua yuran yang dibayar menerusi pelbagai platform dan kami juga ingin memaklumkan potongan sebanyak 7 peratus terhadap yuran berkenaan akan dibuat sebagai yuran pentadbiran bagi menguruskan hal ini," kata kenyataan itu lagi.