Usain Bolt meratapi hakikat bahawa dia gagal untuk memberikan pengakhiran yang sempurna kepada penyokongnya yang hadir selepas tewas dalam perlumbaan individu dalam saingan 100 meter akhir Kejohanan Dunia IAAF London 2017.

Atlet paling terkenal dalam sukan olahraga itu meletkkan sasaran untuk meraih gelaran juara dunia buat kali keempat di London tetapi terpaksa menerima kekalahan dan mengakhiri saingan di tempat ketiga di belakang dua pelari dari Amerika Syarikat, Justin Gatlin dan Christian Coleman.

Bolt, yang masih berpeluang untuk melakar kemenangan pingat emas ke-12 dalam acara 4x100m, menerima sokongan padu di Stadium London, namun gagal mengejar Gatlin dan Coleman selepas lambat meninggalkan blok pelepasan.

"Permulaan saya amat mengecewakan," kata Bolt.

"Secara kebiasaannya saya akan mampu melakukan permulaan yang lebih baik selepas melalui beberapa larian tetapi saya gagal melakukannya kali ini."

Mengulas mengenai sokongan yang diberikannya kepada, Bolt berkata, "Ia merupakan sesuatu yang amat menakjubkan, saya telah menerima sokongan yang padu di stadium.

"Saya cuma kecewa kerana gagal memberikan yang terbaik.

Gatlin mencipta sejarah apabila menjadi atlet tertua pada usia 35 tahun untuk memenangi acara ini dengan catatan 9.92 saat, diikuti Coleman 9.94s dan Bolt berhempas-pulas untuk mendapatkan tempat ketiga dengan catatan 9.95s.

Ia adalah pingat emas kedua Gatlin dalam acara 100m dalam Kejohanan Dunia -- menyusuli kejayaan sulungnya di Helsinki, 12 tahun lalu.