Skuad boling tenpin lelaki negara kehilangan aura dan pengaruh pemain veteran apabila Alex Liew mengumumkan persaraannya.

Paling terkesan adalah jaguh negara, Rafiq Ismail, yang turut mengesahkan portfolio baru pemain kidal itu sebagai jurulatih skuad remaja negara.

"Sekarang apabila Alex tiada dalam pasukan, rasa janggal sebab saya selalu berlatih bersamanya.

"Saya (guna) tangan kiri dan dia juga tangan kiri.

"Kami selalu menasihatkan sesama sendiri.

"(Kehilangannya) membuatkan saya kehilangan idea.

"Apapun, saya tidak boleh terlalu bergantung kepadanya dan mengikut sahaja keadaan ini," katanya.

Satu lagi perkembangan yang dinantikan kem kebangsaan adalah kedudukan ketua jurulatih, Holloway Cheah, yang dikhabarkan akan diberikan mandat sebagai pengarah kejurulatihan.

"Bagi saya, ia tidak menjadi masalah besar kerana saya masih boleh bergantung kepadanya.

"Saya akan merujuk setiap kekurangan saya kepadanya dan jurulatih lain.

"Dia juga ada menjenguk kami, jadi saya tidak rasa ia akan menjadi masalah," tambahnya.