Boling Tenpin: Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia dibatalkan

Oleh Staff Writer 23 Julai 2020 53
Boling Tenpin: Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia dibatalkan
Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTCB) mengesahkan tiada Kejohanan Antarabangsa Terbuka Malaysia tahun ini ekoran pandemik COVID-19 yang masih di tahap membimbangkan dan keputusan itu diambil atas dasar keselamatan.

Berita itu dikongsikan oleh Setiausaha Agung MTCB, Maradona Chok, kepada wartawan Nadi Arena, Irfan Ali, hari ini

Menurut Maradona, ia adalah satu langkah terbaik buat semua pihak dalam memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Melihat kepada keadaan semasa COVID-19, kami memutuskan untuk membatalkan Kejohanan Antarabangsa Terbuka Malaysia kerana tidak mahu mengambil risiko dalam menganjurkan sebuah acara besar.

"Jadi, kami memutuskan untuk membatalkan kejohanan tersebut dan kami akan menganjurkannya pada tahun depan. 

"Kami telah memutuskan untuk menganjurkannya pada April tahun depan," katanya.

Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia adalah antara kejohanan yang dinantikan-nantikan oleh seluruh komuniti boling, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Tahap persaingan yang tinggi memerlukan setiap atlet berada dalam prestasi terbaik untuk menjuarainya, namun semua itu harus dilupakan tahun ini susulan pembatalan kejohanan itu.

Bagi atlet kebangsaan, pembatalan itu sudah dijangka dan mereka akur dan yakin kejohanan itu akan kembali diadakan pada tahun depan.

"Saya sudah menjangkakan ketiadaan kejohanan itu tahun ini disebabkan COVID-19, jadi saya akan terus memberikan fokus kepada latihan untuk mendapatkan momentum yang telah hilang setelah berehat panjang," kata juara edisi 2016, Sin Li Jane.

Seorang lagi pemain kebangsaan, Shalin Zulkifli, menambah: "Bagi saya ini bukan perkara baru. Pada 2017, MTCB pernah tidak menganjurkan Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia, cuma pemain muda akan kekurangan kejohanan. Kami perlu bersabar dan mungkin tahun depan jadual kejohanan akan penuh semula," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen