Kepercayaan kepada rakan sepasukan menjadi kunci utama kepada kejayaan pasangan beregu boling tenpin negara, Adrian Ang dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam, apabila merangkul pingat emas kedua Malaysia di pentas Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia di Hong Kong, semalam.

Ini merupakan kejayaan pertama Adrian dan Tun Ameerul dalam Kejohanan Dunia meskipun hakikatnya sandaran utama sebelum ini tidak diletakkan kepada mereka.

Mereka menewaskan pesaing dari Amerika Syarikat, Andrew Anderson dan Ej Tacket dengan 433 jatuhan pin untuk mengatasi 370 pin yang dilakukan lawan.

Nyata, pasangan tersebut tidak menjangka melakar kejutan untuk menghadirkan emas kedua selepas Rafiq Ismail terlebih dahulu mengharumkan nama negara dengan emas sulung negara dalam acara perseorangan.

Apa yang pasti, kepercayaan di antara satu sama lain dalam memastikan balingan konsisten dalam setiap frame membuahkan hasil buat Andrian dan Tunku Ameerul untuk dinobatkan selaku juara.

"Resipi kejayaan kami adalah kepercayaan terhadap rakan sepasukan.

"Kami hanya fokus kepada balingan sendiri, setiap balingan adalah berharga," kata Adrian.

Tun Ameerul pula menambah: "Terima kasih kepada semua pihak di Malaysia.

"Saya kehilangan kata-kata ketika ini."