Boling: Shalin terkilan gagal pecah rekod emas

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2019 261
Boling: Shalin terkilan gagal pecah rekod emas
Pemain boling tenpin wanita negara, Shalin Zulkifli, mengakui terkilan apabila gagal mencapai misi peribadi untuk menjadi atlet Malaysia yang paling banyak memenangi pingat emas dalam Sukan SEA apabila sekadar menamatkan edisi di Filipina yang berakhir kelmarin dengan satu pingat perak.

Dia hanya memerlukan tiga pingat emas lagi untuk memintas legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah, yang memegang rekod itu dengan 22 pingat emas Sukan SEA dari 1985 hingga 1989.

Bagaimanapun, penyertaannya dalam Sukan SEA ketujuhnya itu berakhir hampa dengan sekadar meraih pingat perak acara berpasukan wanita.

Ia bermakna Shalin, yang membuat penampilan pertama dalam edisi di Jakarta pada 1993, kekal dengan koleksi 20 pingat emas. 

"Matlamat utama saya di sini (Filipina) adalah untuk mendapatkan seberapa banyak pingat yang mungkin untuk membantu Malaysia mencapai sasaran.

"Kalau saya dapat pecah rekod, Alhamdulillah.

"Tetapi saya tahu ia bukan senang kerana (pemain) Singapura dan Indonesia juga berlatih dengan sangat kuat," katanya.

Dengan usia yang sudah mencecah 41 tahun, Shalin masih belum pasti sama ada akan beraksi dalam edisi di Vietnam dua tahun lagi memandangkan tuan rumah itu mungkin menggugurkan acara berkenaan seperti yang pernah dilakukan mereka pada 2003.

"Susah hendak cakap kerana saya rasa dalam edisi yang seterusnya, boling tidak akan dipertandingkan.

"Kerana selalunya, apabila Vietnam atau Myanmar menjadi tuan rumah, boling memang tidak dipertandingkan.

"Jadi, kami masih tidak tahu lagi," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen