Bekas pemain boling padang negara, Fatin Aqilah Amran, kini menggalas tanggungjawab baru apabila dilantik menjadi jurulatih skuad pembangunan Persatuan Boling Padang Sabah (SLBA).

Fatin Aqilah, 26, yang menerima surat lantikan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah baru-baru ini berkata dia teruja dengan tanggungjawab batu yang diberikan itu.

"Sebagai tambahan, saya bukan sahaja mahu meningkatkan kualiti program pembangunan sedia ada tetapi juga mahu mengembangkan lagi sukan ini bagi memburu bakat-bakat baru yang akan mewakili Sabah dan negara pada masa akan datang," katanya.

Antara pencapaian Fatin adalah memenangi pingat perak dalam Sukan Malaysia (sukma) di Pahang dan Perlis selain memenangi pingat gangsa untuk negara dalam Kejohanan Pra-Sukan Sea 2017.

"Mudah-mudahan dengan pengalaman saya sebagai atlet negeri serta sebahagian daripada pasukan kebangsaan, saya dapat menurunkan ilmu kepada bakat-bakat baru di Sabah.

"Ia juga satu penghormatan bagi saya apabila dipilih untuk menjadi jurulatih pembangunan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MSN dan SLBA," katanya lagi.