Malang berganda buat skuad bola jaring negara apabila terpaksa menerima hakikat tidak tersenarai dalam Program Majlis Sukan Negara (MSN) tahun depan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Atlet MSN, Jefry Ngadirin, mengesahkan hanya 26 persatuan sukan kebangsaan akan menghadiri mesyuarat pemilihan Sukan Komanwel dan Sukan Asia, Sabtu ini.


Skuad bola jaring terpaksa menerima hakikat kejayaan meraih pingat emas temasya KL2017 tidak cukup untuk terus berada dalam Program MSN 2018.

Kegagalan melepasi had kelayakan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, selain acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia di Indonesia menjadi punca utama bola jaring tidak terpilih.

"Bagi sukan-sukan yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan, ia tidak akan dimasukkan dalam program yang kami akan mulakan tidak lama lagi.

"Kami masih lagi membantu mereka dalam penyertaan kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia. Kami juga akan menunggu persatuan sukan datang kepada kami bagi persediaan mereka untuk kejohanan utama," katanya.

Keputusan itu pasti mengecewakan bintang seperti An Najwa Azizan atau Izyan Syazana Mohd Wazir selepas berjaya menamatkan kemarau 16 tahun untuk bergelar juara dalam Sukan SEA.

Proses pemilihan pada Sabtu ini, bagaimanapun, tidak membabitkan atlet dan jurulatih Program Podium.