Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjulang gelaran juara Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan 2017 selepas mengetepikan juara bertahan, Johor, dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, hari ini.

Musim lalu, Johor dinobatkan juara manakala Kuala Lumpur pula tidak menghantar penyertaan.

Namun, untuk edisi kali ke-33 tahun ini, Kuala Lumpur yang dibimbing bekas kapten kebangsaan, Nurul Adha Abdul Razak, tampak lebih mantap apabila mengawal permainan sejak suku pertama.

Jentera serangan Kuala Lumpur yang diterajui Nur Naziera Nabiela dan Norfatihah Mohd Radin cukup berkesan dalam membuat jaringan sebelum merakamkan kemenangan selesa 60-36.

Lebih manis buat Kuala Lumpur apabila Nur Naziera dinamakan sebagai penyerang terbaik kejohanan manakala Johor pula masih boleh berbangga apabila Nur Azila Aziz dinobatkan pemain terbaik kejohanan.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain saya. Rata-rata pemain kami telah berlatih bersama Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Kuala Lumpur,” kata Nurul.

“Saya tidak menjangkakan kejayaan dinobat sebagai penyerang terbaik kejohanan, saya amat berbangga dengan pencapaian ini,” kata Nur Naziera.

“Kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk muncul juara, kami akan cuba memperbaiki kesilapan dan merebut semula kejuaraan ini,” kata Azila pula.