Pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2 (JPNS2) mencipta kejuaraan hatrik apabila muncul juara buat kali ketiga berturut-turut di kejohanan bola jaring Piala Toh Puan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Pasukan yang dibarisi guru-guru dari kawasan pedalaman Sabah itu dinobat sebagai juara selepas menang bergaya 40-17 terhadap Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam aksi final.

Terdahulu, JPNS2 mempamerkan permainan berkualiti apabila mudah melepasi saingan peringkat kumpulan dengan menjuarai kumpulan A.

Di suku akhir, JPNS2 meneruskan kehebatan mereka apabila menewaskan pasukan dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dengan keputusan 27-8 dan kecemerlangan mereka itu diteruskan pada aksi separuh akhir apabila menang 16-6 terhadap Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain muncul juara, JPNS2 turut menyapu bersih empat anugerah sampingan kejohanan apabila pemain mereka Priscella Aletha Koek dinobat sebagai penjaring terbanyak, Halleinah Tuanggaak (penyerang terbaik), Emma Nadia John (penghadang terbaik) dan Juvita Soumin (pemain terbaik kejohanan).

"Kami bermula dari bawah bersama-sama, berkat disiplin, usaha dan sikap tidak mengenal putus asa telah membawa kami ke tahap sekarang," kata Halleinah yang turut bertindak sebagai jurulatih pasukan berkenaan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Saleha Mersin, berkata hubungan baik di kalangan pemain yang sudah menjadi seperti satu keluarga adalah kunci utama kejayaan mereka.

"Susah senang kami tetap bersama, sama ada di dalam gelanggang mahupun di luar gelanggang, hubungan kami seperti satu keluarga besar, ini adalah kekuatan sebenar kami," katanya.

Barisan pemain JPNS2 untuk kejohanan kali ini ialah, Halleinah Tuanggaak (jurulatih dan pemain); Felicia Justine; Juvie June Junaidi; Priscella Aletha Koek; Frederica Clarice Justine; Joelene Janes Lim; Emma Nadia John; Juvita Soumin; Agnes Junchiu; Roslianna Bily @ Sylvester; Effymieaevi Kosai; Carol Lenny Donggulu dan Rafidah Daupin.