Selangor terpaksa akur apabila bantahan terhadap keputusan seri 29-29 berdepan PDRM ditolak, sekali gus gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2017 di Bukit Kiara, hari ini.

Penyandang juara itu terpaksa berputih mata tahun ini selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan A dengan tiga mata tatkala PDRM di kedudukan kedua dengan empat mata.

Mereka yang pada mulanya mendahului perlawanan dihampakan oleh lawan yang berjaya menyamakan kedudukan 29-29 pada saat-saat akhir perlawanan.

Skuad bimbingan Mohd Shariff Abdullah itu kemudian melakukan bantahan terhadap jaringan itu yang didakwa tidak sepatutnya dikira kerana wisel penamat telah dibunyikan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, jawatankuasa rayuan kejohanan memutuskan jaringan terbabit adalah sah selepas menonton kembali rakaman aksi berkenaan.

"Saya berpuas hati dengan rakaman video (rasmi) itu. Mungkin ada kesilapan dengan rakaman (kami), iyalah kami hanya menggunakan telefon. Tetapi apabila menyaksikan rakaman sebenar, kami menerimanya dengan rela hati," kata pengurus pasukan Selangor, Zaleha Sulong.

Gagal pertahankan kejuaraan, kapten Selangor, Nurul Intan Shahirah Sharifuddin, bagaimanapun tidak menyalahkan barisan pemain muda yang diturunkan pada edisi ini selain menyifatkan ia adalah satu pengalaman baru buat mereka.

"Kami mendapat pengalaman kerana kami membawa pemain junior, maksudnya bukan mahu menyalahkan mereka 100 peratus.

"Kami perlu melakukan kombinasi yang betul dan berlatih dengan lebih gigih lagi," katanya.

Keputusan hari ini:

Melaka 29-36 PDRM
Johor 57-20 Pahang
Perak 20-52 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur