Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengulangi pencapaian pada 2015 untuk menjuarai Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2017 selepas menundukkan Johor 48-46 di Stadium Juara, Bukit Kiara, petang tadi.

Kedua-dua pasukan itu pernah berentap dalam aksi final 2015 dan Kuala Lumpur berjaya mengulangi skrip sama bagi edisi ini pula untuk bergelar juara.

Johor dan Kuala Lumpur masing-masing mempamerkan aksi sengit dalam suku pertama dan kedua untuk mereka saling berbalas jaringan sebelum Kuala Lumpur menjarakkan jurang mata 37-31 dalam suku ketiga.

Strategi jurulatih, Norizan Rajab, mempertaruhkan S. Shandralelka sebagai penjaring utama selepas itu juga ternyata membuahkan hasil untuk Kuala Lumpur berupaya mengasak bagi melakukan jaringan.

Pertahanan rapuh Johor juga jelas memberi ruang kepada Kuala Lumpur mencuri mata dan seterusnya membuatkan kempunan Johor berterusan selepas 10 tahun.

"Kami terpaksa membuat rombakan dengan meletakkan Shandralelka sebagai penjaring utama. Hasilnya, dalam suku terakhir, kami mendapat rentak lalu mengubah kedudukan jaringan," kata Norizan.
Jurulatih Johor, Rohaya Muhamad, bagaimanapun, tetap memuji kerja keras anak buahnya yang berusaha merapatkan kedudukan sehingga tamat masa perlawanan.

"Saya berbangga dengan pemain Johor yang bermain sungguh-sungguh dan hanya kalah tipis dengan dua jaringan," katanya.

Sementara itu, PDRM meraih tempat ketiga selepas meraih kemenangan tipis 45-42 ke atas Terengganu dalam penentuan tempat ketiga, pagi tadi.