Bola Jaring Kebangsaan: Kuala Lumpur cipta hatrik

Oleh Bernama 6 November 2019 42
Bola Jaring Kebangsaan: Kuala Lumpur cipta hatrik
Kuala Lumpur mencipta hatrik apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan Ke-41 selepas menewaskan Perak 53-35 dalam aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Pada awal permainan, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang dan Kuala Lumpur sekadar mendahului 16-13 dalam suku pertama sebelum bangkit dalam suku kedua untuk kedudukan 32-21 berpihak kepada pasukan ibu kota itu.

Skuad Kuala Lumpur terus mengekalkan rentak permainan dalam suku ketiga untuk menjarakkan kedudukan kepada 44-26 sebelum menamatkan permainan dengan jurang 53-35 dalam suku keempat.

Jurulatih Kuala Lumpur, Norizan Rajab, berkata beliau bersyukur skuadnya menunjukkan prestasi yang baik dan konsisten daripada peringkat kumpulan sehingga ke pentas akhir perlawanan.

“Kami berjaya mengekalkan rekod bersih (tanpa kekalahan) dalam kejohanan kebangsaan kali ini dan berjaya mengekalkan kejuaraan dari 2017 hingga sekarang.

“Satu kejayaan amat cemerlang untuk pasukan Kuala Lumpur dan ini memberi suntikan semangat dalam persediaan kami ke Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir itu.‚Äč

Sementara itu, Johor menamatkan saingan di tempat ketiga manakala Terengganu menghuni tempat keempat.

Sementara itu, pemain Perak, Yap Suo Kuen, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan manakala Pertahanan Terbaik menjadi milik Arifatun Najibah Najib dari Johor.

Selain bergelar juara, Kuala Lumpur turut meraih dua gelaran menerusi Nur Amisya Khairud Din yang dipilih sebagai Penyerang Terbaik manakala Nurdiyanah Noor Sabbadinee merangkul anugerah Penjaring Gol Terbanyak dengan 194 gol.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen