Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan berentap dalam final selepas masing-masing melakar kemenangan dalam separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan di Bukit Kiara, hari ini.

Johor yang dibimbing jurulatih, Rohaya Mohamad, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Terengganu 42-22.

Pasukan itu mendahului perlawanan sejak suku pertama 19-14 sebelum mempamerkan aksi konsisten sehingga wisel penamat.

Johor yang meraih pingat gangsa pada edisi lalu enggan melepaskan peluang terbaik untuk menamatkan kemarau emas 10 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2003.

"Kami bermain dengan cara kami, dengan lebih bersemangat dan berhati-hati. Dalam final selepas ini, kami harus memberikan lebih perhatian," kata Rohaya.

Kuala Lumpur pula nyata mahu mengubati kekecewaan di tangan Selangor dalam final edisi lalu selepas menewaskan PDRM 54-20.

Mengulas mengenai aksi menentang Johor dalam final esok, jurulatih Kuala Lumpur, Norizan Rejab, berkata: "Johor mempunyai pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini, kami juga mempunyai dua orang daripada skuad itu. Pastinya final akan sengit.

"Ia menarik kerana mereka dapat menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu pasukan masing-masing."