Kehadiran pemain berpengalaman dari Amerika Syarikat (AS) bakal menjadi halangan buat wakil negara untuk memburu gelaran dalam Kejohanan Masters Boling di Sunway Megalanes, bermula Rabu ini.

Buat julung kalinya penganjur kejohanan dapat membawa pemain dari AS bagi saingan Masters, dengan menyaksikan kehadiran Parker Bohn yang merupakan juara empat kali Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA).

Penyertaan Bohn menghangatkan lagi cabaran dengan Malaysia bakal diterajui oleh Rafiq Ismail serta Shalin Zulkifli bagi memburu gelaran Masters yang dimenangi Kang Bo Long tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Masters, Tan Yoke Chiang, pihaknya sentiasa cuba untuk menarik lebih ramai penyertaan pemain, khususnya dari Amerika Syarikat atau Eropah, namun timbul sedikit kekangan daripada aspek kos.

"Kami cuba mendapatkan lebih banyak penyertaan pemain dari AS dan Eropah tetapi bukan mudah untuk mereka datang kerana ia agak mahal.

"Jadi, kami berjaya mendapatkan beberapa penajaan untuk memastikan penyertaan mereka," katanya.

Selain Bohn, saingan Masters yang dilangsungkan seiring dengan Kejohanan Remaja All-Stars turut menyaksikan penyertaan dua anaknya, Justin dan Brandon.