Pemain boling muda negara, Kang Bo Long, muncul juara Kejohanan Boling Masters 2016 selepas menewaskan lawan dari Singapura, Cheah Ray Han, dengan 233 berbalas 202 pin dalam final di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Ray Han, bagaimanapun, terpaksa melalui perlawanan 'step-ladder' terlebih dahulu dengan mengetepikan cabaran pemain senior negara seperti Zulmazran Zulkifli dan Adrian Ang.

Dalam aksi final ini, kedua-dua pemain bermula baik apabila melakukan 'strike' sehingga balingan ketiga.

Namun, pada balingan keempat dan kelima, permainan mula berubah apabila Bo Long ketinggalan 10 pin berbanding Ray Han.

Bo Long kemudiannya bangkit pada balingan keenam hingga kelapan selepas melakukan 'strike', dengan Ray Han sekadar mencipta dua 'spare' dan satu 'strike' untuk kedudukan menjadi 254 berbalas 222.

Pada dua balingan terakhir, Bo Long terus mengesahkan kemenangan untuk mengumpul 233 berbalas 202 pin.