Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menegaskan tiada lagi ruang buat bina badan melakukan sebarang rayuan agar sukan berkenaan dipertandingkan dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Berdasarkan maklum balas Khairy itu, juara Kejohanan Bina Badan Asia 2016, Syarul Azman Mahen Abdullah, nampaknya sudah boleh melupakan hasrat untuk beraksi di temasya sukan serantau itu.

Enggan mengulas lanjut, Khairy berkata 38 jenis sukan yang diumumkan pada 4 Julai lalu adalah muktamad dan beliau enggan melayan sebarang rayuan yang mahu dikemukakan.

"Senarai sukan yang telah diumumkan adalah muktamad," katanya hari ini.

Dalam laporan Nadi Arena, semalam, Syarul mendedahkan dia mahu berjumpa Khairy dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar bina badan diberi peluang beraksi dalam Sukan Sea 2017.

Selain mendapat sokongan enam negara lain, kejayaan meraih tiga pingat emas dan satu gangsa dalam Kejohanan Bina Badan Asia 2016 menjadi bukti bina badan mampu menyumbang emas.

Mengenai isu doping yang kali ini membabitkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Khairy menjelaskan beliau berasa kecewa, namun mahu persatuan sukan bertanggungjawab melakukan pengumuman rasmi kepada media.

"Semua kes telahpun diserahkan kepada persatuan sukan masing-masing untuk tindakan lanjut. Sama ada, ujian sampel B ataupun pendengaran kes-kes tersebut, ia diserahkan kepada persatuan sukan. Pengumuman juga akan dilakukan oleh persatuan sukan itu sendiri," katanya.

Khairy sebelum itu menghadiri majlis perasmian Akademi Sazali Samad di Cyberjaya.

Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos tahun depan.