Bina badan: Syarul Azman terkilan Mr Universe, Mr Asia dibatalkan

Oleh Muzaffar Musa 29 September 2020 74
Bina badan: Syarul Azman terkilan Mr Universe, Mr Asia dibatalkan
Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, terpaksa berputih mata untuk mempertahankan gelaran Mr Universe dan Mr Asia apabila kedua-dua kejohanan itu dibatalkan tahun ini.

Lebih mengecewakannya apabila Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) turut membatalkan kesemua kejohanan tempatan berikutan pandemik COVID-19.

Persoalannya ketika ini adalah bagaimana Syarul Azman atau lebih dikenali sebagai Mike Mahen akan meneruskan sesi latihannya tanpa sebarang kejohanan antarabangsa dan tempatan?

Jaguh berusia 47 tahun itu perlu mengeluarkan kos tinggi untuk mengekalkan bentuk badan dan cabarannya cukup sukar memandangkan dia tidak mendapat sebarang bantuan, termasuk aspek pemakanan tambahan.

"Sudah pasti apabila saya melihat kejohanan sukan-sukan lain sedang berjalan dan saya pula tiada kejohanan antarabangsa dan dalaman, saya berasa agak cemburu," katanya kepada Nadi Arena.

"Tetapi saya terpaksa menghadapi dan menerima hakikatnya.

"ISN (Institut Sukan Negara) tidak memberikan saya makanan tambahan mungkin kerana beranggapan bahawa sukan bina badan tiada dalam program (kebangsaan), jadi saya terpaksa beli sendiri.

"Buat masa ini saya hanya melakukan latihan sendiri. Walaupun tidak banyak, saya masih melakukannya.

"MSN (Majlis Sukan Negara) juga katanya akan membantu saya dan saya sudah berjumpa dengan Datuk Shapawi (Ismail, Ketua Pengarah MSN) dan beliau berkata akan membantu saya, jadi kami akan berbincang.

"Saya berharap apabila tahun ini selesai, segala-galanya akan kembali normal tahun depan," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen