Kejayaan raja pecut Asia Tenggara yang baru, Mohd Haiqal Hanafi, perlu dijadikan iktibar untuk tidak menjadikan pelari muda itu sebagai 'tikus makmal' seperti tragedi yang menimpa Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan daripada berulang lagi.

Haiqal, yang meraih pingat emas Sukan SEA Filipina, Ahad lalu, dianggap produk berjaya di bawah pemantauan jurulatih, Md Poad Mohd Kassim, yang berpangkalan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.

Program yang dilaksanakan Md Poad itu tampak berkesan dengan Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz pernah mengecapi kemuncak prestasi, namun menurun setelah berlaku banyak campur tangan.

Justeru, bagi mengelak perkara sama daripada berlaku, Haiqal perlu diletakkan terus di bawah jurulatih berpengalaman berkenaan.

"Kita tidak mahu (apa yang terjadi kepada) Khairul Hafiz (daripada berulang), mereka seolah-olah seperti memaksanya menyertai banyak kejohanan.

"Ini merupakan satu perancangan jangka masa pendek, ia memberi kesan kepada bukan sahaja Khairul Hafiz, malah kepada semua atlet," kata pemerhati sukan negara, Dr. Faithal Hassan.

Haiqal perlu diberikan perhatian oleh Institut Sukan Negara (ISN) agar dapat mengawal dan memastikan tahap fizikal pelari berusia 20 tahun tersebut dapat dikerah untuk beberapa temasya sukan dwitahunan itu lagi.

"Bukan mudah untuk mencari (bakat) pelari pecut yang memenangi emas walaupun di peringkat Sukan SEA.

"Kebolehan Haiqal memenangi emas itu boleh melahirkan lebih ramai lagi (pelari pecut dalam kalangan) pelajar untuk mengikuti jejaknya," kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, pula.