Ujian swab adalah wajib bagi atlet negara yang akan menjalani latihan penuh minggu ini tetapi olahragawati kebangsaan 2018, Amy Kwan, hadir ke Majlis Sukan Negara (MSN) bukan untuk tujuan berkenaan dan ia menimbulkan tanda tanya mengenai perancangannya untuk bersara dalam masa terdekat.

Ini jawapan ratu gimrama negara itu apabila ditanya oleh wartawan Astro Arena, Irfan Ali, mengenai tujuannya hadir ke MSN pada pagi tadi.

"Setakat ini saya sedang memikirkan tentang masa depan saya, sama ada sudah tiba masanya untuk saya bersara atau tidak. Jika anda mahu tahu mengenainya, anda perlu tunggu.

"Perkara pertama yang saya akan lakukan selepas bersara adalah berehat kerana saya sentiasa berlatih dan belajar, jadi jika boleh, saya mahu berehat dan melakukan apa yang saya suka.

"Ketika ini, saya sedang menjadi jurulatih separuh masa kepada adik saya dan saya menggemarinya.

"Saya masih belum menentukan keputusan mengenai persaraan," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, berpendapat masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan dan semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi daripada persatuan itu.