Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah mahu menjadikan Hari Sukan Negara (HSN) tahun ini sebagai kayu pengukur sejauh mana kesedaran penduduk di negeri ini dalam mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.

Pembantu Menterinya, Datuk Masiung Banah, berkata HSN yang bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 14 Oktober ini, jauh berbeza dengan penganjurannya sebelum ini, terutama daripada segi peruntukan.

"Pada tahun ini, peruntukan untuk program-program sukan pada hari berkenaan hanya akan disalurkan bagi penganjuran di peringkat negeri dan bahagian berbanding tahun lalu yang mana ia turut disalurkan bagi penganjuran program sukan di peringkat daerah serta kampung.

"Ini bukan bermakna program ini dikecilkan tetapi sebenarnya kita mahu melihat bagaimana sambutan orang ramai walaupun tanpa peruntukan yang besar.

"Kita tidak mahu apabila kita memberi peruntukan, baru kita mahu bersukan. Peruntukan besar sejak dua tahun lalu itu hanyalah sebagai pencetus kesedaran," katanya dalam sidang media di pejabat KBS Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Masiung berkata pihaknya juga menyasarkan penglibatan seramai 80,000 orang yang bersukan pada hari berkenaan dan yakin ia akan mampu dicapai, malah dijangka jauh melebih sasaran ditetapkan.

"Pada 2015, kita menyasarkan 400,000 penglibatan dan ia tercapai, malah lebih lagi. Begitu juga pada tahun 2016, kita sasar 734,000 dan sekali lagi kita capai lebih daripada sasaran."

Sementara itu, beliau berkata pelbagai aktiviti akan diadakan sempena HSN nanti, termasuk acara larian, berbasikal dan senamrobik dengan tuan rumah bagi peringkat negeri tahun ini ialah Tawau.

"Selain itu, kita juga sekali lagi memberi peluang untuk orang ramai menggunakan kemudahan sukan secara percuma di semua 13 kompleks sukan yang ada di negeri ini.

"Kita juga berharap agensi-agensi kerajaan mahupun swasta akan turut serta memeriahkan HSN pada tahun ini dengan mengadakan aktiviti sukan dalam kalangan mereka masing-masing."