Penolong jurulatih badminton perseorangan negara, Sairul Amar Ayub, menasihatkan atlet judo Perak yang positif bahan terlarang jenis triamcinolone acetonide agar memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pendengaran untuk terlepas daripada sebarang hukuman.

Antara empat kes positif doping dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak, atlet judo itu memiliki peluang paling cerah untuk terlepas daripada hukuman.

Dia mendakwa mendapatkan suntikan doktor sebelum menyertai Sukma, namun gagal menyediakan dokumen ketika ujian doping dijalankan.

Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) mendakwa atlet itu boleh terlepas jika menyediakan dokumen perubatan ketika proses pendengaran yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Jika berjaya, atlet judo Perak itu akan menjadi atlet kedua di Malaysia yang terlepas daripada dakwaan selepas Sairul melakukannya ketika menghadapi hukuman doping pada 2006 ekoran positif bahan terlarang jenis dexamethasone.

"Ia sesuatu di luar jangkaan, namun jika dia berjaya menyediakan dokumen yang lengkap serta penerangan yang baik, saya berasakan perkara-perkara itu akan memudahkan beliau.

"Kepada mereka yang yakin tidak bersalah, mereka perlu mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan, pasukan, persatuan sukan dan yang paling penting adalah sokongan daripada pihak keluarga," kata Sairul.

Tiga lagi kes positif ujian doping Sukma membabitkan dua atlet angkat berat Terengganu dan seorang daripada kontinjen Pahang.