Pengendali skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, mahu menggunakan aksi persahabatan dengan kelab Kuantan Rangers esok untuk menggunakan beberapa pendekatan taktikal yang akan digunakan dalam Kejohanan Futsal AFF bulan ini.

Chun Yong menyifatkan aksi persahabatan ini juga adalah peluang terbaik menguji beberapa gandingan dalam pasukan.

Bekas pemain futsal negara ini juga mahu menerapkan beberapa pendekatan taktikal baru dalam pasukan.

Ia kerana lawan dalam Kejohanan AFF pasti sudah mengkaji corak permainan skuad negara ketika saingan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

“Walaupun ia berdepan pasukan tempatan, kami akan cuba menguji taktikal kami. Saya sentiasa menerapkan kepada pemain-pemain untuk memberikan yang terbaik,” kata Chun Yong.

Dalam pada itu, tonggak tengah negara, Azwan Ismail, berasakan setiap pemain perlu bersedia menyerlahkan aksi terbaik dalam saingan AFF kali ini.

Ia kerana setengah negara seperti Indonesia bakal menurunkan skuad lebih ampuh berbanding dalam Sukan SEA lalu.

“Tidak mengira lawan yang menurunkan barisan terbaik ataupun tidak, kami perlu memberikan yang terbaik bagi mencipta kemenangan,” katanya.