Bekas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad, meminta penganjur perlumbaan usah terlalu ghairah hingga mengabaikan ganjaran kepada pemenang.

Peningkatan jumlah perlumbaan berbasikal peringkat jelajah di Malaysia merupakan satu petanda positif.

Namun, ia meningkatkan risiko penganjur mengabaikan tarikh akhir pembayaran kepada pemenang, iaitu tiga bulan selepas tamat saingan.

Jelajah Malaysia adalah antara yang dikaitkan dengan senario ini.

"Penganjur perlu menyerahkan deposit kepada PKBM sama ada dari segi wang tunai atau jaminan bank supaya mereka yang mengambil bahagian akan menerima hadiah yang dijanjikan," ujar Naim.

Malaysia menganjurkan empat perlumbaan besar tahun ini seperti Le Tour de Langkawi yang bertaraf hors class selain perlumbaan kelas 2.2, Jelajah Malaysia, Tour of Selangor dan Tour of Malaysia.

Turut akan dianjurkan, Kejohanan OCBC Cycling Kuala Lumpur yang disertai lebih 2,000 pelumba di Dataran Merdeka, 5 November depan.

"Perlumbaan seperti ini tidak pernah dilakukan lagi.

"Saya tidak fikir kita pernah mengadakan jarak sejauh 21km. Kali ini, pelumba akan bersaing di dalam bandar ini tanpa henti dengan melibatkan jarak 21km," kata Ketua Komunikasi Korporat OCBC Malaysia Berhad, Julius Evanson.

Perlumbaan Le Tour de Langkawi, yang sudah menjadi acara tetap dalam kalendar perlumbaan jelajah di negara ini sejak 1996, pernah terpalit isu hadiah kemenangan. Begitu juga perlumbaan Jelajah Malaysia yang merupakan acara jelajah tertua negara.