Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi lebih masa buat jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, untuk menyesuaikan diri dengan basikal barunya.

Basikal WX-R yang dilancarkan awal bulan ini dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

Basikal yang direka mengikut kesesuaian pelumba negara itu diperbuat daripada titanium dan karbon fiber yang lebih keras, tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah dan tidak hairanlah ia melibatkan kos setinggi RM13 juta menerusi kerjasama dengan Vorteq.

"Tidak silap saya akan menggunakan basikal itu adalah pada bulan depan tetapi disebabkan keadaan ini, mungkin tempoh itu dilanjutkan lagi," katanya ketika ditemu bual di atas talian dengan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Pelumba dari Terengganu itu turut berkongsi keadaan wabak koronavirus baru (Covid-19) di pangkalan latihan di Melbourne, Australia.

"Kerajaan di sini telah memerintahkan separa perintah berkurung. Semua premis sudah diarahkan ditutup kecuali farmasi, bank dan kedai runcit.

"Makanan di restoran juga hanya dibolehkan untuk dibawa pulang.

"Saya menjangkakan dalam tempoh beberapa minggu lagi, mereka juga akan mengambil langkah yang serupa seperti di Malaysia.

"Mungkin akan ada perintah berkurung sepenuhnya.

"Semua kemudahan sukan ditutup sepenuhnya dan ia menjejaskan (persiapan) saya.

"Kami perlu cari inisiatif untuk pastikan dapat berlatih mengekalkan tahap kecergasan."