Jaguh bebasikal trek negara, Azizulhasni Awang, meraih gangsa kedua apabila menewaskan pelumba Poland, Mateusz Rudyk, dalam penentuan tempat ketiga acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin sebentar tadi.

Selepas gagal menempatkan diri di pentas final petang tadi, Azizulhasni membuktikan bahawa dia antara pelumba yang perlu diberikan perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan dengan meraih gangsa acara berkenaan.

Berdepan pemenang pingat gangsa edisi lalu itu, pelumba negara dengan gelaran The Pocket Rocketman berkenaan bersaing hebat sebelum menamatkan perlumbaan pertama dengan kelebihan tipis.

Dalam pusingan kedua, jaguh kelahiran Dungun itu memaparkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Rudyk dengan perbezaan 0.853 saat.