Berbasikal para: Misi serampang dua mata skuad negara

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2019 35
Berbasikal para: Misi serampang dua mata skuad negara
Jurulatih skuad berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh, akan membentuk dua pasukan berbeza bagi menghadapi Sukan Para Asean Filipina dan Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia (ACC) memandangkan kedua-dua kejohanan berkenaan berkemungkinan akan berlangsung serentak.

ACC di Putrajaya akan bermula dari 17 hingga 22 Mac dan ia dijangka akan bertindih dengan Sukan Para ASEAN, yang berkemungkinan besar ditunda ke bulan yang sama.

Skuad negara mengekalkan pendekatan untuk menghantar wakil bagi kedua-dua kejohanan itu dengan pelumba acara individu akan ke Filipina manakala wakil acara tandem akan berlumba di Putrajaya.

Ia bagi memenuhi sasaran pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapatkan satu lagi slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Untuk ACC, agak kurang (harapan) sedikit kerana tujuh pelumba akan dihantar ke Sukan Para ASEAN dan yang lain akan menyertai ACC.

"Ini peluang utama kami kerana bertindak sebagai tuan rumah.

"Jadi, (sasaran) mata akan berkurangan sedikit daripada asal," katanya.

Setakat ini, Malaysia sudah memperoleh dua slot ke Tokyo, masing-masing dalam acara individu lelaki dan wanita.

Seandainya memperoleh satu slot lagi dalam perlumbaan di Putrajaya itu, skuad negara akan dapat menyertai acara berpasukan lelaki di Tokyo.

"Waktu untuk memungut mata masih terbuka hingga Jun depan.

"Jadi, ACC merupakan salah satu lubuk kutipan mata bagi pasukan kami untuk layak ke Tokyo," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen