Berbasikal lebuhraya: ToP ditunda setahun berikutan COVID-19

Oleh Bernama 22 Julai 2020 120
Berbasikal lebuhraya: ToP ditunda setahun berikutan COVID-19
Penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Peninsular (ToP), Motoshoot Event Sdn Bhd, mengambil keputusan untuk menunda edisi kedua perlumbaan itu berikutan keadaan tidak menentu ekoran pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Operasinya, Emir Abdul Jalal, berkata perlumbaan jelajah lima peringkat, yang sepatutnya berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober depan, akan diadakan sekitar tempoh yang sama tahun depan.

Katanya, antara sebab keputusan itu dibuat adalah penganjur tidak mahu terburu-buru menganjurkan perlumbaan dalam masa yang singkat sehingga menjejaskan kualiti penganjuran, selepas menyediakan perlumbaan yang terpuji dalam edisi sulung tahun lalu.

“Kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, kami belum tahu ‘pelan keluar’ kerajaan macam mana. 

"Kami juga masih belum boleh menjemput pasukan dari luar negara kerana kerajaan masih belum membuka sempadan.

“Penaja juga belum pasti boleh memberikan komitmen penuh seperti yang dijanjikan sebelum ini. 

"Jadi, dengan mengambil kira semua faktor ini, kami tidak mahu mengambil risiko dengan terus menganjurkan perlumbaan ini,” katanya.

Emir berkata sekiranya perlumbaan itu hanya diadakan dengan melibatkan pelumba dalam negara, ia akan mengakibatkan status 2.1 perlumbaan itu dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) terjejas.

Ia kerana hanya tiga pasukan di Malaysia, iaitu pasukan kebangsaan, Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) yang memenuhi kriteria berlumba dalam perlumbaan berstatus 2.1.

Selain ToP, acara berbasikal lain seperti Tour de Femina, Jelajah Malaysia dan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, turut dibatalkan tahun ini manakala Le Tour de Langkawi (LTdL) telah dianjurkan pada awal Februari lalu sebelum wabak itu mula menular di Malaysia.

Edisi sulung ToP, yang berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober tahun lalu, menarik penyertaan hampir 200 pelumba daripada 18 pasukan benua dan dua pasukan kebangsaan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen