Pada ketika kerajaan perlu berdepan jumlah perbelanjaan tinggi dalam menangani bebanan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19, sukan tetap tidak dilupakan dalam Belanjawan 2021.

Peruntukan untuk sukan negara bagi tahun 2021 mengalami penurunan yang ketara tetapi masih ada faktor yang mampu melonjakkan industri itu secara keseluruhan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, membahagikan bajet untuk sukan kepada tiga segmen.

Terdapat penurunan yang amat ketara, terutama membabitkan peruntukan yang menjurus kepada pembangunan atlet negara di mana hanya RM55 juta diperuntukkan untuk sukan berprestasi tinggi yang hanya melibatkan empat jenis sukan, iaitu ragbi, hoki, badminton dan berbasikal.

Peruntukan itu juga perlu dikongsikan bagi pembangunan atlet wanita dan RM15 juta daripadanya disalurkan buat e-sukan.

"Kerajaan juga akan menyediakan RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara," kata Tengku Zafrul dalam pembentangan itu.

"Bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi, kerajaan akan menyediakan RM55 juta untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita, termasuk RM15 juta bagi pembangunan e-sukan.

"Bagi membantu pengusaha industri sukan, sebanyak RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan," katanya.