Belanjawan 2018: KBS terima RM1b, kata Syed Saddiq 

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2018 334
 Belanjawan 2018: KBS terima RM1b, kata Syed Saddiq 
Pemegang taruh dalam sukan tempatan boleh menarik nafas lega apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendedahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebenarnya mendapat peruntukan RM1 bilion dan berjanji akan mengagihkannya.

Pembentangan Belanjawan 2019 semalam menyaksikan sukan tempatan menerima peruntukan RM100 juta sahaja, yang dikhususkan untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 manakala sukan elektronik (E-Sukan) mendapat RM10 juta untuk program pembangunan.

Namun, ia hanyalah serpihan daripada jumlah keseluruhan RM1 bilion yang diperuntukan kerana KBS juga bertanggungjawab untuk menyelaras Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) serta beberapa program baru yang melibatkan belia.

Syed Saddiq akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk melihat peruntukan yang sesuai bagi persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Manila 2019.

"Ya, (KBS) menerima peruntukan RM1 bilion tetapi bukan untuk sukan sahaja.

"Sebelum ini, BTN dan PLKN di bawah kementerian berbeza manakala pada masa sama, kami sedang mengenal pasti beberapa program baru untuk diperkenalkan," ujar Syed Saddiq. 

Antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan itu nanti adalah pengelasan atlet dalam Program Podium bagi menentukan sama ada mereka berada dalam kelompok elit Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel mahupun kejohanan di rantau Asia Tenggara serta tidak dilupakan sukan bukan teras yang menyinar dalam kejohanan dunia.

"Kami akan mengadakan mesyuarat penyelarasan untuk membincangkan cara untuk kita menggunakan peruntukan yang diberikan. 

"Dalam masa sama, kami ingin memastikan bahawa ia dijalankan dalam sistem yang telus serta pengagihan yang adil," katanya lagi. 

Sehubungan itu, Naib Presiden Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM), Mohd Akbal Amin, berharap persatuan kecil tidak dipinggirkan.

"Selepas Sukan Asia 2018, PMM tidak dapat menghantar atlet menjalani latihan kerana persatuan sudah dikembalikan ke KBS.

"Jadi, saya mengharapkan KBS akan memberi sokongan penuh kepada persatuan-persatuan  kecil seperti mendaki menerusi program pembangunan atlet," kata Akbal. 

Pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan, pula berpendapat pecahan peruntukan itu untuk kepentingan sukan negara perlu diperincikan dengan berkata: "Terdapat peningkatan sebanyak 25 peratus kepada pihak pelaksana seperti ISN dan MSN tetapi secara dasarnya kita masih kurang jelas.

"(Adalah lebih baik) sekiranya pihak Kementerian Kewangan di samping KBS dan MSN dapat memperincikan berapa banyakkah peningkatan 25 peratus itu akan disalurkan untuk sukan dan ke manakah peruntukan itu akan disalurkan. 

"Itu lebih penting dan memberi kesan informasi yang positif kepada persatuan sukan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen