Bekas atlet lari berpagar negara, Noraseela Mohd Khalid, kini menggalas misi penting menarik lebih ramai bakat muda dari Sarawak untuk menyertai acara pecut dan lari berpagar.

Noraseela, yang mempunyai pengalaman kira-kira 17 tahun sebagai atlet, mahu memindahkan kepakaran dan pengalaman beliau mewakili negara sehingga Sukan Olimpik London 2012 kepada atlet muda.

Pemegang rekod kebangsaan acara 400m lari berpagar wanita itu, yang dilantik sebagai jurulatih elit negeri pada Mac, kini membimbing Alvin Jostine (100m dan 110m lari berpagar) dan Mohd Norhazim Ahmad (110m lari berpagar) di Kuching.

Atlet 400m lari berpagar Sarawak, Mandy Goh Li, yang berpusat di Bukit Jalil di bawah jurulatih yang berlainan juga diletakkan di bawah pemantauan Noraseela.

Ujian pertama bagi Noraseela ialah dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor memandangkan Sarawak memberi tumpuan utama ke arah itu dengan tujuan untuk melahirkan atlet ke peringkat seterusnya.

"Sebagai jurulatih, kami perlu menyediakan atlet dan kami perlu memastikan bahawa kami melakukan segala-galanya mengikut perkembangan atlet untuk mengelakkan mereka daripada tersingkir terlalu awal.

"Kita perlu faham apabila berdepan dengan atlet muda, ia dilakukan secara berperingkat, jadi saya agak bersabar dengan itu dan saya juga boleh tegas dengan atlet. Menjadi jurulatih adalah jauh lebih mencabar daripada menjadi seorang atlet kerana sebagai atlet, anda hanya perlu berfikir tentang diri dan prestasi anda.

"Saya cuba menjadi mentor mereka, terutama daripada aspek psikologi dan perkongsian pengalaman. Saya cuba mengaitkannya tetapi tidak sama, berbeza daripada seorang atlet dengan atlet yang lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia 2019 di Bukit Jalil.

Rekod peribadi Noraseela iaitu 56.02 saat yang dicatatkan di Regensburg, Jerman pada Jun, 2006 masih kekal sebagai rekod kebangsaan 400m lari berpagar dan setakat ini, belum ada atlet negara yang mampu memadamkan rekod itu sejak 13 tahun lalu.

Bekas atlet berusia 39 tahun itu merupakan salah seorang daripada dua atlet negara yang berjaya meraih pingat dalam Sukan Asia. Dalam Sukan Asia 2006 di Doha, Noraseela membawa pulang pingat gangsa melalui acara 400m lari berpagar wanita manakala satu-satunya atlet lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu, merangkul perak.

Sejak penampilannya dalam Sukan SEA Brunei 1999, dia telah membolot empat pingat emas dan dua perak manakala dalam Kejohanan Asia, beliau memenangi dua perak dan satu gangsa.

-- BERNAMA