Bekas atlet akan didedahkan dengan ilmu kejurulatihan

Oleh Penulis Jemputan 2 November 2017 167
Bekas atlet akan didedahkan dengan ilmu kejurulatihan
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Institut Sukan Negara (ISN) menjalin kerjasama untuk mewujudkan program inisiatif pendidikan bagi tujuan mendorong bekas atlet kembali menyumbang bakti dengan menjadi jurulatih profesional. 

Seramai 80 peserta terdiri daripada bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara mendaftarkan diri untuk menyertai kursus yang julung kali diadakan itu, hari ini.  

Ia dilihat sebagai kesinambungan mereka bagi terus mencurah bakti selepas bersara mahupun tidak aktif lagi dalam sukan yang diceburi. 

Barisan bekas atlet itu akan diberikan latihan dan kemahiran untuk bergelar jurulatih profesional menerusi Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK).

Sebagai permulaan, peserta perlu mendapatkan lesen C melalui SLKK yang merangkumi dua komponen, iaitu Kursus Sains Sukan Tahap 1 dan Sukan Spesifik Tahap 1. 

"Kami akan lihat bagaimana kami boleh membantu bekas-bekas atlet negara. Kami telah menyusun seperti kurikulum dan memperkenalkan kursus ini," kata Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul
Azim Mohd Zabidi.

"Apabila sudah ada inisiatif seperti ini, bermakna peserta atau bekas atlet sudah tentu akan mendapat manfaaat yang besar," kata bekas pelumba basikal negara, Yahya Ahmad.

Hadir merasmikan program itu adalah Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merangkap penaung YAKEB sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 

Sementara itu, berhubung kes tuntutan saman oleh tiga atlet menembak, pihak ISN sedia untuk mempertimbangkan cadangan untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah, namun tertakluk
kepada nasihat peguam. 

"Kami akan tunggu nasihat daripada peguam. Kalau mereka mahu menyelesaikannya di luar mahkamah, Alhamdullillah.

"Kami akan lihat apa yang mahu diselesaikan, tidak boleh hanya bersetuju dengan apa yang disaran atau dicadangkan oleh mereka," kata Abdul Azim.

Sebelum ini, Muslifah Zulkifli, Nur Suryani Taibi dan Nur Ayuni Farhana digugurkan daripada Program Podium di bawah seliaan ISN. Malah, Muslifah dan Ayuni tidak disenaraikan dalam Sukan SEA 2017. 

Sehubungan itu, ISN sudah pun melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen