Bedah siasat punca kemerosotan skuad pelayaran 

Oleh Staff Writer 12 Disember 2019 221
Bedah siasat punca kemerosotan skuad pelayaran 
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Mazlan Othman, memberi bayangan barisan kejurulatihan skuad pelayaran negara akan dirombak berikutan prestasi buruk pelayar negara dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir semalam.
 
Prestasi skuad negara di Subic itu gagal membawa sebarang pulangan pingat emas dalam temasya edisi ke-30 berkenaan, sekali gus mengulangi pencapaian Sukan SEA Jakarta-Palembang 2011.
 
Malaysia gagal menepati sasaran empat emas yang ditetapkan MSA selepas sekadar meraih dua pingat perak dan tujuh gangsa yang membabitkan beberapa acara utama.
 
Selain faktor angin yang di luar jangkaan, persatuan tersebut juga mengenal pasti beberapa perkara lain yang menyumbang kepada prestasi buruk skuad pelayaran negara kali ini.
 
"Kita tunggu dulu. Bedah siasat akan diadakan selepas ini, ia akan dilakukan secepat mungkin.
 
"Kami akan baiki dan bangkit kembali untuk bersaing dengan gergasi Asia," katanya.
 
Difahamkan, ia atas faktor pengalaman jurulatih yang menyerlahkan kekurangan pelayar negara dalam temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih pelayaran negara, Afendy Abdullah, berpandangan sikap menuding jari kepada barisan kejurulatihan adalah tidak wajar.

Beliau menegaskan kegagalan skuad pelayaran negara juga disebabkan beberapa faktor lain, sekali gus mengingatkan MSA usah cepat melatah.

"Terdapat pencapaian yang lebih seperti layak ke Sukan Olimpik, meraih pingat dalam Sukan Asia. Apa yang berlaku dalam Sukan SEA, terdapat beberapa faktor mempengaruhi keadaan. Jadi, usahlah menghukum," katanya.

Khairulnizam Afendy selaku kapten skuad pelayaran negara tidak mahu MSA bertindak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan.

Ia bagi mengelak sebarang kesan buruk untuk persiapan pelayar negara, termasuk dirinya, ke misi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya berharap sebelum sebarang keputusan dilakukan, ia tidak akan menjejaskan persiapan kami untuk menghadapi Sukan Olimpik tahun depan," kata Khairulnizam.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen