Biarpun sekadar menjalani latihan di Malaysia, pelumba berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa, masih mampu untuk menyumbangkan dua pingat perak, sekali gus menimbulkan persoalan adakah dia patut kembali bersama skuad elit berlatih di Melbourne, Australia?

Fatehah tidak menyertai skuad elit negara berlatih di Melbourne sejak Julai lalu.

Selepas aksinya kerap dikritik, khususnya dalam kempen Sukan Komanwel Gold Coast sehingga digugurkan daripada menyertai Sukan Asia Indonesia tahun ini, dia kini mempamerkan watak baru untuk mula mendapatkan semula statusnya sebagai pelumba berbasikal trek wanita terbaik negara.

Buktinya, dua perak diraih dalam acara pecut serta keirin individu, malah dalam masa yang sama mengatasi dua pelumba elit, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosdi dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2018 di Velodrom Nasional, Nilai yang berakhir hari ini.

"Prestasi hari ini di luar jangkaan saya.

"Saya berasakan kejayaan meraih dua pingat perak ini lebih daripada memadai.

"Saya harap dalam kejohanan seterusnya, iaitu Piala Dunia (di Poland pada Februari depan), saya dapat fokus dalam acara individu dan pecut berpasukan di samping Farina," kata Fatehah.

Bagaimanapun, tiada kata putus dilontarkan ketua jurulatih negara, John Beasley, sama ada akan membawa semula Fatehah berlatih di Melbourne bersama rakan sepasukan yang lain.

Dia masih kurang yakin dengan persembahan yang ditampilkan Fatehah dan menjelaskan anak buahnya itu masih perlu bekerja keras andai mahu terus bersaing kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Situasi terkini agak sukar buat Fatehah kerana tiada aksi kompetitif lagi selepas ini.

"Dia terpaksa kembali ke prestasi terbaiknya dalam 12 bulan akan datang, dia sudah tiada harapan untuk mengutip mata kelayakan," kata Beasley.