BB FC, Rascalz juara Liga Futsal Sabah

Oleh Staff Writer 22 November 2016 0
BB FC, Rascalz juara Liga Futsal Sabah
Pasukan BB FC dan Rascalz mengungguli pusingan akhir Liga Futsal Sabah apabila masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita di gelanggang futsal Juara Sports Planet, Putatan, baru-baru ini.

Pasukan dari Tawau, BB FC, dinobat sebagai juara selepas membenam DN'MS FT 6-1 dalam perlawanan akhir manakala Rascalz bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menewaskan pasukan Cingkaling 3-1 untuk muncul juara kategori wanita.

Terdahulu, BB FC berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan satu lagi pasukan dari Tawau, Sri Intan, 3-1 manakala DN'MS FT mudah melangkah ke final selepas menjinakkan Mizanis Nunior 28, 5-0.

Sementara itu, bagi kategori wanita, walaupun kalah 1-2 kepada pasukan Remixx, Rascalz diberi laluan untuk beraksi di final selepas Remixx dibatalkan penyertaan kerana menurunkan empat pemain negeri daripada tiga yang dibenarkan.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Cingkaling berjaya menempah tiket ke final selepas menundukkan UMS 2-0.

Untuk rekod, Sabah adalah satu-satunya negeri yang menganjurkan liga futsal dengan ia dilaksanakan berdasarkan format liga futsal kebangsaan.

Liga berkenaan mula berlangsung pada awal tahun ini untuk sirkit pertama, diikuti sirkit kedua dan seterusnya pusingan akhir yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

Kejohanan itu juga digunakan untuk memilih pemain bagi mewakili Sabah ke  Liga Futsal Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.

Jawatankuasa pemilihan diketuai Mohd Asyraaf Fong Abdullah yang juga pengendali skuad bola sepak wanita negara, dengan dibantu Rusli Hassan dan Azman Soaibah.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen