Beberapa atlet serta bekas atlet kebangsaan akan merancakkan lagi Larian Baton Ratu Sukan Komanwel 2018 di Bukit Jalil, bermula esok hingga Jumaat ini.

Sudah menjadi tradisi setiap penganjur temasya sukan itu akan mengadakan Larian Baton Ratu yang merentasi seluruh negara-negara Komanwel.

Tidak terkecuali tuan rumah edisi 2018, Gold Coast, yang memulakan larian itu di London, England, 13 Mac lalu.

Secara keseluruhan ia merentasi jarak sejauh 230,000 kilometer dengan memakan masa 388 hari sebelum ia sampai ke hari pembukaan Sukan Komanwel nanti.

Berada di Kuala Lumpur selama empat hari bermula esok, larian itu akan disertai atlet menembak, Bibiana Ng, di samping bekas atlet negara seperti Datuk Razif Sidek, Datuk James Selvaraj dan Wong Choon Hann.

"Larian ini berlangsung pada pertengahan sambutan Deepavali, jadi untuk mendapatkan lebih ramai yang terlibat menjadi isu.

"Maka, kami memutuskan untuk menghantar pasukan bersama baton ke pelbagai tempat," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, selepas sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama bekas atlet olahraga negara yang juga Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Tan Sri Dr M. Jegathesan, manakala Keri Algar bertindak selaku Pegawai Perhubungan Media Baton Komanwel 2018.

Jegathesan turut menyerahkan baton itu kepada Tunku Imran sebagai simbolik Malaysia selaku destinasi berikutnya dengan Brunei dan Singapura akan melengkapkan siri jelajah baton itu di benua Asia.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Gold Coast dari 4 hingga 15 April 2018.