Komuniti kejurulatihan negara tidak terkecuali dalam menzahirkan rasa terkejut dan terkesan dengan perkembangan sedih yang menimpa jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim.

Berdasarkan laporan terdahulu, Poad kini dalam keadaan kritikal tetapi stabil di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Berita mengenai jurulatih berkenaan dimasukkan ke wad Ahad lalu hanya sampai ke pengetahuan rakan jurulatih semalam.

"Saya tidak sangka sebab sebelum ini kami berjumpa dan bersembang, beliau tidak pernah memberitahu beliau sakit. Tetapi selepas mendapat berita daripada rakan-rakan, saya begitu terkejut.

"Saya harapkan beliau cepat sembuh dan dapat mengendalikan latihan seperti sedia kala," kata jurulatih lompat jauh para negara, Syahrul Amri Suhaimi.

Sementara itu, jurulatih lontar peluru negara, Faizol Harun, berkata: "Semasa Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu, dia demam dan selepas itu baik. Tiba-tiba semalam saya dengar dia dimasukkan ke hospital.

"Saya terima mesej tentangnya daripada rakan-rakan. Saya doakan dia cepat sembuh."

Poad, 48, dari Melaka mula menjadi jurulatih pada 1997 di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, SMK Seri Kota dan kini bertugas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar

Beliau membimbing atlet olharaga, antaranya pelari pecut terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, selain Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Haiqal Hanafi dan Asnawi Hashim.