Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyambut baik pengumuman kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 1.2 bilion untuk pembangunan sukan dalam Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen, petang tadi.

"Saya melihat banyak agenda KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pada tahun depan dalam persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Para ASEAN untuk muncul sebagai juara.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana memberi kepercayaan dan tanggungjawab besar ini kepada KBS, tahun depan," kata Khairy.

Selain peruntukan sebanyak RM450 juta yang diluluskan untuk penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, kompleks sukan di seluruh negara turut bakal menikmati peruntukan besar bagi tujuan pembinaan dan naik taraf atlet.

Program Podium dan juga pembangunan atlet termasuk atlet Paralimpik juga bakal menerima peruntukan besar.

Majlis Sukan Negara (MSN) akan memastikan misi Kita Juara Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 Kuala Lumpur berupaya direalisasikan di sebalik pengurangan bajet bagi program penyediaan atlet ke temasya itu.

Antara peruntukan bagi Bajet 2017 melibatkan sukan negara, menyaksikan MSN perlu memperincikan perancangan bersandarkan bajet bernilai RM54 juta.

Angka itu merupakan pengurangan berbanding bajet sedia ada yang bertunjangkan keperluan Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio.

"Kita perlu berbelanja secara berhemah.

"MSN akan membuat sedikit pengubahsuaian dalam pelaksanaan dan perancangan program latihan, khususnya sukan-sukan yang memberi impak untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan, iaitu menjadi juara Sukan SEA dan juga muncul sebagai naib juara di Sukan Para ASEAN 2017," jelas Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail.

Di sebalik kemahuan untuk muncul juara keseluruhan tahun depan, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), turut mengharapkan peruntukan bagi penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 dimanfaatkan sebaiknya dalam memastikan Malaysia menjadi antara tuan rumah terbaik dalam penganjuran sukan serantau itu.

"Saya tahu peruntukan itu bukan jumlah sebenar seperti yang diminta oleh Seketariat Sukan SEA 2017.

"Walaubagaimanapun, dengan cara pengurusan dan belanjawan yang berhemah dan dari segi mengawal ketirisan peruntukan dan sebagainya, saya percaya jumlah ini mencukupi untuk KBS dan juga Seketariat Sukan SEA 2017 dalam memastikan Sukan SEA yang berjaya -- yang mampu meletakkan Malaysia sebagai penganjur sukan yang diperakui negara-negara serantau," ujar Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.