Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan sebahagian daripada peruntukan Bajet 2017 digunakan untuk memantapkan barisan kejurulatihan, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

Secara keseluruhan, KBS menerima peruntukan sebanyak RM1.2 bilion daripada Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Ia merangkumi pembinaan serta menaik taraf prasarana sukan, Program Podium, persiapan atlet serta pembinaan akademi bola sepak fasa dua di Gambang.

Menurut Khairy, pembangunan jurulatih turut dijadikan keutamaan bagi meneruskan kesinambungan kejayaan yang dilakar, khususnya di temasya Olimpik serta Paralimpik Rio baru-baru ini.

"Kami bukan sahaja memerlukan jurulatih, bahkan juga tenaga kerja dalam membentuk jurulatih baharu. Mereka ini penting dalam mendidik jurulatih sedia ada.

"Dalam aspek inilah, kami perlu mengeluarkan perbelanjaan," katanya selepas menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Kejurulatihan Kebangsaan di Seri Kembangan, Selangor, hari ini.

Persidangan yang diadakan buat kali kedua itu menghimpunkan kesemua tenaga kejurulatihan sukan tempatan.

"Kami mahu memastikan bahawa semua jurulatih di Malaysia dapat membayangkan dengan jelas apakah haluan yang menanti mereka.

"Mereka perlu tahu bidang kejurulatihan bukan saja tentang menerima insentif atau platform untuk dikenali ramai, bahkan juga penting untuk mereka menjadi jurulatih yang terbaik menerusi program yang telah disediakan," tambahnya.

Kerajaan memandang serius kemajuan sukan negara dengan meluluskan sejumlah peruntukan yang besar, antaranya RM450 juta bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 serta suntikan RM122 juta untuk membina dan menaik taraf fasiliti sukan di negara ini.