Atlet di bawah Program Podium perlu mengekalkan prestasi tertinggi secara konsisten atau berdepan penyingkiran dengan bajet RM70 juta yang diperuntukkan bagi program itu hanya buat yang terbaik di Malaysia.

Pengumuman Belanjawan Negara 2017 menyaksikan Program Podium dijadikan platform inisiatif persiapan atlet elit negara. Dengan penerimaan jumlah peruntukan sebanyak itu, ia merupakan jumlah yang terbesar bagi sektor sukan.

Nilai RM70 juta itu juga hampir dengan perancangan perbelanjaan asal bagi perlaksanaan program tersebut.

"Terlebih dahulu, kita perlu faham mengenai bajet tersebut. Dalam pada itu, kita perlu jujur di mana bajet itu dikurangkan di beberapa bahagian.

"Kami perlu mengambil pendirian untuk bersyukur kerana bajet RM70 juta itu hampir menyamai sasaran asal kami.

"Ini akan memberi kami ruang selesa bagi melaksanakan program elit," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairy Zawi.

Atas dasar itu juga, ISN yang menunjangi Program Podium perlu berhemah dalam perbelanjaan, di samping memberi keutamaan kepada atlet yang menyinar dalam senarai program itu.

Sejak dilancarkan Februari lalu, penerimaan Program Podium yang mengaplikasikan sains sukan dan psikologi semakin diterima dalam kalangan jurulatih dan atlet.

Misi utama Program Podium adalah memastikan Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik di Sukan Asia dan Komanwel 2018, di samping merealisasikan misi emas Olimpik sulung Malaysia di Tokyo 2020.

"25 peratus akan diperuntukan untuk pembangunan psikologi sukan dan keperluan teknologi, khususnya sains rawatan pemulihan (atlet) supaya kita dapat bersaing dengan atlet berkelas dunia yang lain.

"Ini merupakan langkah terbaik kita dalam menyediakan khidmat sains dan perubatan dalam sukan," katanya lagi.