Pemain ping pong para negara, Mohamad Azwar Bakar, berharap namanya berada dalam pertimbangan untuk disenaraikan apabila sukan itu kembali dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Azwar percaya dia mampu meraih pingat andai diberi peluang mewakili negara ke temasya sukan itu nanti.

Ini kerana berdasarkan ranking pemain daripada kalangan negara-negara Komanwel, dia berada di kedudukan kedua di belakang pemain England, Kim Daybell.

Malah, beraksi dalam Sukan Paralimpik London 2012 dan Sukan Paralimpik Rio 2016 banyak membantuya untuk menentang pemain lebih berpengalaman.

Kali terakhir acara ping pong para tersenarai dalam Sukan Komanwel ialah pada edisi 2010 di New Delhi.

"Kelayakannya berdasarakan kedudukan ranking. Buat masa sekarang, saya masih lagi berada dalam ranking baik dan saya harap ia dapat diteruskan untuk ke Sukan Komanwel.

"Sukan Komanwel ini adalah peluang saya untuk mendapatkan medal," katanya.

Sehubungan itu, Azwar mengharapkan penyertaannya dalam beberapa pertandingan selepas ini dapat terus membantunya bagi memecah masuk dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Ketika ini, dia menduduki tangga ke-13 dengan mengumpul 1,599 mata.

Dia turut yakin percaturan yang diletakkan oleh jurulatih, Ng Tong, dapat membantunya memburu kedudukan lebih selesa pada musim 2018 nanti.

"Saya serahkan kepada jurulatih saya untuk menentukannya, mungkin ada satu atau dua kejohanan lagi sebagai persiapan. Buat masa sekarang, saya cuba berlatih seperti biasa.

"Sekarang ini, saya juga melatih pemain lain di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dalam masa sama, ia membantu prestasi saya," katanya.